BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, October 23, 2009

TARIAN JOGET


Tarian Joget merupakan sejenis tarian Melayu traditional. Tarian ini dipengaruhi oleh kebudayaan Portugis iaitu Branyo, satu cabang daripada tarian Coridinho. Joget telah dijadikan sebagai tarian sosial serta diterima oleh berbagai-bagai kaum di Malaysia. Ia juga biasanya ditarikan secara berpasangan lelaki dan wanita.
Pada masa kini terdapat pelbagai jenis lagu-lagu yang dihasilkan seperti Joget Serampang Laut, Joget 106, Joget Johore Sport Club dan lain-lain. Joget juga popular ditarikan secara beramai-ramai dalam pesta keramaian dan dikenali sebagai joget lambak.

TARIAN ASYIK



Tarian Asyik merupakan satu tarian klasik (daerah) Kelantan dan dipersembahkan di istana (Raja-Raja Kelantan). Penari-penari terdiri daripada dayang-dayang istana. Selain itu Tarian Asyik ditarikan pada hari perkahwinan, iaitu malam berinai dan malam berinai besar di istana. Hari ini Tarian Asyik dipersembahkan juga pada hari-hari temasya negeri dan negara. Dari segi sejarah (Hikayat Patani), Raja Kuning iaitu Raja Perempuan yang memerintah Patani dalam tahun 1644 ada menyimpan 12 orang penari istana yang menyanyi dan menari dipanggil Asyik.

Wednesday, October 21, 2009

TARIAN ZAPIN


Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Malaysia boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin, sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini, yang diperkenalkan oleh para mubaligh dari Timur Tengah, pada mulanya digunakan dalam amalan berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.

TARIAN MANGUNATIP


Ini merupakan sejenis tarian tradisi masyarakat suku kaum Murut dari suku Kuhijau (Kwijau). Magunatip berasal dari perkataan ‘apit' di yang bermakna jepit. Ia membawa maksud ketika menari kaki penari terjepit atau terapit di antara dua batang kayu (buluh) jikalau tidak cekap mengelakkannya. Biasanya tarian ini tidak memerlukan iringan muzik oleh kerana bunyi buluh itu yang dilagakan akan menimbulkan bunyi yang kuat serta rentak dan irama yang menarik.Tarian Magunatip bertujuan untuk memeriahkan sesuatu upacara yand diadakan.

TARIAN SUMAYAU


Tarian ini merupakan tarian asli suku kaum Dusun daripada daerah Tuaran dan juga dikenali sebagai Madsayau. Tarian Sumayau merupakan tarian khas bagi menyambut hari Mengaji atau dalam bahasa Dusun disebut Mengahau. Oleh yang demikian ianya tidak ditarikan dalam majlis-majlis bersukaria seperti menyambut hari keramaian dan sebagainya.

Persembahan tarian diketuai oleh seorang Monolian iaitu wanita yang telah lanjut usianya dan dalam pengetahuannya mengenai upacara-upacara tertentu. Ia harus juga dari keturunan Monolian.

Mengahau adalah suatu majlis yang diadakan besar-besaran dan mengambil masa hingga lima hari lima malam.Tujuannya adalah untuk mengaji gusi-gusi, (gusi-gusi ialah sejenis tampian besar) untuk menghormati atau memuja gusi-gusi itu, Di samping itu upacara sedemikian juga adalah untuk memperingati keluarga yang telah meninggal dunia iaitu seperti kenduri arwah yang lazim dilakukan oleh masyarakat Melayu Islam.

Sebaik sahaja muzik dimainkan penari-penari mulalah menari dan terus menuju ke ruang atau gelanggang tari. Gerakkan tangan penari-penari adalah mengikut irama lagu. Gerak kaki adalah perlahan jika dibandingkan dengan gerak tangan. Ia cuma bergerak berinsut-insut yang amat perlahan. Gerak tarian akan bertambah rancak sedikit apabila mendapat tepukan atau rangsangan daripada para penonton.

TARIAN LIMBAI


Tarian ini adalah sejenis tarian asli masyarakat suku Bajau. Tarian Limbai ditarikan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan. Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin. Ia merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin naik ke rumah untuk melakukan istiadat ijab qabul yakni pernikahan. Irama dan bahasa tarian mengiringi anggota-anggota rombongan pengantin naik ke rumah. Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat datang.

TARIAN SUMAZAU


Tarian ini merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit. Gerak dan irama tari Sumazau adalah perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan.

Sunday, October 18, 2009

kuda kepang


Tarian Kuda Kepang dibawa ke Negeri Johor oleh pendatang dari Jawa. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam, diiringi paluan gendang, gong dan angklung

MAK YONG


Tarian Mak Yong yang berasal dari Patani di selatan Thailand dicipta untuk hiburan kerabat DiRaja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat diRaja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu

Wednesday, October 14, 2009

tarian daling-daling sabah


Tarian ini bukannya tarian asal suku kaum Bajau di Daerah Semporna, sebaliknya ia dibawa oleh orang-orang Suluk dari Kepulauan Mindanau. Pertumbuhan masyarakat Bajau dan Suluk yang sering mempengaruhi, maka hadirlah tarian ini sebagai milik masyarakat Bajau yang menetap di Semporna. Perkataan Daling-daling berasal daripada perkataan Inggeris darling yang bererti kekasih. Tarian ini adalah tarian hiburan di majlis-majlis tertentu yang sifatnya berbalas pantun di antara penari lelaki dan perempuan.